Thursday, May 27, 2010

Mohd Zaidi Bin Jusoh


Sila gunakan ruangan ini untuk melaporkan apa sahaja aktiviti praktikum anda termasuk soal-jawab dengan saya. Setiap kali anda melawati blog ini,sila buat catatan yang mungkin berguna sebagai catatan Buku Log nanti. Penilaian praktikum juga termasuk sejauhmanakah anda memberi laporan kepada saya dalam laman blog ini. Anda disyorkan menulis sebanyak mungkin catatan dan tiada halangan sekiranya anda menulis di sini setiap hari. Contohnya pengalaman melapor diri di hari pertama praktikum .Jika anda mempunyai gambar semasa praktikum, sila emailkan kepada saya untuk dikongsi bersama dengan rakan yang lain.Sila buat catatan dengan click 'comments'.

18 comments:

  1. Assalamualaikum Dr. ini laporan harian saya...

    Tarikh: 1 JUN 2010 (Selasa)

    Pada pukul 8.00 pagi, saya melaporkan diri dan menyerahkan dokumen pengenalan diri di Bahagian Pentadbiran Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu kemudian saya ditempatkan di bahagian Unit Teknikal. Dalam unit tersebut, saya dibawa berjumpa dengan En. Abdul Muhaimin Bin Mohd Redzwan iaitu Penolong Ketua Jajahan (Penguatkuasaan & Teknikal). Beliau mencerita serba sedikit tugas yang dimainkan oleh Unit Teknikal iaitu mengawal selia urusan pemilikan tanah seperti pembayaran hasil tanah, pecah sempadan, pecah bahagian, hakmilik dan menyiasat status tanah. Selepas itu, saya sedikit sebanyak bersuaikenal dengan pegawai-pegawai yang terlibat di dalam unit tersebut. Seterusnya saya diarahkan oleh pegawai membantu mengemas kelengkapan pejabat, menyusun fail-fail ke dalam rak, dan juga membeli setem hasil di Pejabat Pos yang berdekatan.


    Tarikh: 2 JUN 2010 (Rabu)

    Pada pukul 7.45 pagi, saya sampai di pejabat dan bersarapan di kantin. Tepat pukul 8.00 pagi saya terus masuk ke pejabat, kemudian diarah berkumpul di bilik mesyuarat untuk mendengar tazqirah yang disampaikan oleh Ust. Mohammad bertajuk ‘Dugaan Hidup’. Selepas selesai, saya terus masuk ke pejabat dan menyusun dokumen Pelanggaran Syarat Penggunaan Tanah ke dalam fail. Selain itu, saya disuruh membuat kerja-kerja ringan seperti menggunakan mesin fotostat dan mencetak (print). Kemudian saya diajar memplot lot-lot tanah di dalam pelan mengikut bahagian dan kawasan yang tersenarai dalam geran tanah. Seterusnya saya dibantu pegawai melayani pelanggan yang hendak membeli pelan kecil lot-lot tanah dan kemudian merekodkan jualan itu ke dalam buku bil yang disediakan.


    Tarikh: 3 JUN 2010 (Khamis)

    Hari ketiga saya menjalankan praktikal di jabatan ini, pelbagai perkara baru yang telah saya pelajari. Sememangnya dunia pekerjaan berbeza dengan apa yang diajar dan berlaku didalam bilik kuliah. Alam pekerjaan lebih memenatkan berbanding hari-hari yang saya lalui di universiti dahulu. Pada hari ketiga, Saya disuruh mengisi maklumat bagi Pelanggaran Syarat Kegunaan Tanah (PSKT) ke dalam buku Daftar Rekod PSKT. Selepas itu, saya diajar mengemaskini borang PSKT dan kemudian dimasukkan ke dalam sampul-sampul kecil. Layanan oleh pegawai-pegawai yang diberikan kepada saya amat baik sekali dan saya menjalankan sesi praktikal tanpa ada sebarang masalah yang timbul.

    ReplyDelete
  2. 7 JUN 2010 (Isnin)

    Pada pukul 8.00 pagi dimulakan dengan bacaan doa oleh pegawai yang bertugas. Selepas itu, saya diajar cara menyediakan Pelan Sureh oleh En. Nik Adnan B. Nik Osman iaitu pegawai pelukis pelan bahagian teknikal. Terdapat beberapa proses dalam menyediakan pelan sureh antaranya mencetak(print) pelan mengikut lot tanah yang dikehendaki, kemudiaanya diatas pelan tersebut perlu ditandai dengan maklumat-maklumat sebagaimana yang tercatat dalam geran tanah seperti keluasan, lot, mukin, daerah, harga pelan, no. resit dan lain-lain lagi. Setelah mempelajari ilmu baru itu, saya ditugaskan melayani pelanggan yang ingin membeli pelan sureh tersebut dengan harga RM 10.00.

    8 JUN 2010 (Selasa)

    Pada hari kelima, saya diajar pelbagai ilmu baru lagi berkaitan hal-hal tanah seperti menilai tanah, ubah syarat dan mengenal pelan tapak. Ilmu ini sangat berguna kepada saya kerana ianya berlaku dalam situasi hari ini. Selepas itu saya diberi tugas untuk menjawab panggilan telefon, fotostat, print, disebabkan pegawai yang bertanggungjawab dalam hal tersebut tidak hadir kerana bercuti.

    9 JUN 2010 (Rabu)

    Tepat pada pukul 8.00 pagi, semua pegawai diarah berkumpul dibilik mesyuarat untuk mendengar tazqirah yang disampaikan oleh En. Mohd Shukry B. Mat Hassan yang bertajuk ‘Peristiwa Akhir Zaman’. Selepas itu taklimat ringkas disampaikan oleh YM Tengku Azmi B. Tengku Jaafar iaitu ketua jajahan Kota Bharu. Beliau menyentuh beberapa perkara penting yang perlu diperkemaskan lagi dalam organisasi seperti layanan mesra terhadap pelanggan, penggunaan tanda nama dan pemakaian uniform. Dalam pada itu, beliau telah mengarahkan supaya satu kajian kepuasan pelanggan yang berurusan dikaunter perlu dibuat. Selepas selesai sesi taklimat itu, saya ditugaskan untuk melayani pelanggan yang ingin membeli pelan lot-lot tanah.

    10 JUN 2010 (Khamis)

    Di mulakan dengan bacaan doa oleh pegawai yang bertugas, kemudiaan saya ditugaskan ke ruangan kaunter untuk mengedarkan borang kepuasan pelanggan kepada orang yang berurusan dengan pejabat ini. Kebanyakan orang yang berurusan dikaunter terdiri daripada golongan tua. Pada sebelah petang pula, saya ditugaskan untuk membantu penolong pegawai tanah melayani pelanggan yang ingin menilai harga pasaran semasa tanah. Dalam pada itu, kebanyakan pelanggan yang berurusan di unit teknikal adalah berkaitan hal-hal pelan, tukar syarat dan menilai harga tanah.

    ReplyDelete
  3. 13 JUN 2010 (Ahad)

    Seperti biasa, saya masuk ke pejabat pada pukul 8.00 pagi kemudian pergi ke bahagian ruangan kaunter untuk menyambung mengedar borang-borang kepuasan pelanggan. Selepas itu pada sebelah petang pula, saya masuk kembali ke unit teknikal untuk melayani pelanggan yang ingin membeli pelan sureh. Dalam pada itu, saya ditugaskan untuk membuat kerja-kerja biasa seperti menaip dan menghantar surat, fotostat, print dan menyusun dokumen-dokumen ke dalam fail. Setakat ini, beginilah rutin harian kerja yang diberikan kepada saya.

    14 JUN 2010 (Isnin)

    Sesi praktikal saya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah yang timbul. Setiap hari saya ditugaskan membantu pegawai-pegawai tanah menguruskan pelbagai kerja yang tidak membebankan bagi saya bahkan ianya memberi pelbagai ilmu baru dalam bidang tanah. Saya juga berdepan dengan pelbagai kerenah yang berlaku dalam masyarakat kita khususnya dalam hal pemilikan tanah. Pelbagai pertikaian yang timbul dalam masyarakat kita hari ini khususnya dalam pentadbiran tanah. Perbalahan menjadi perkara biasa dalam hal pemilikan tanah dan ianya tidak kira sama ada mereka ada pertalian darah atau sebaliknya. Pada hari ini, terdapat ramai pelanggan yang berurusan dan kebanyakan mereka ingin membuat nilaian tanah dan membeli pelan sureh.

    15 JUN 2010 (Selasa)

    Pada pukul 8.00 pagi dimulakan dengan bacaan doa dan kemudiannya kerja saya seperti biasa menguruskan penjualan pelan sureh. Dalam pada itu saya juga disuruh menghantar fail-fail pelanggaran syarat tanah ke bilik penolong ketua jajahan yang terletak dibangunan bersebelahan. Kemudian selepas itu saya masuk ke pejabat semula membuat kerja menaip surat dan laporan yang diarahkan oleh pegawai. Setakat ini tidak banyak kerja yang diberikan kepada saya dan ianya hanyalah kerja biasa atau yang ringan sahaja.

    16 JUN 2010 (Rabu)

    Tepat pada pukul 8.00 pagi, seperti biasa setiap hari rabu semua pegawai diarah berkumpul dibilik mesyuarat untuk mendengar tazqirah yang disampaikan oleh En. Abdul Muhaimin B. Mohd Redzwan yang bertajuk ‘Padang Masyhar’. Selepas itu taklimat ringkas yang disampaikan oleh ketua jajahan berhubung dengan etika kerja. Setiap perjumpaan yang diadakan pasti akan ada perbaharuan yang akan beliau perkenalkan. Pada hari ini, beliau ingin memperbaharui misi dan visi pejabat ini kerana misi dan visi yang digunakan sekarang berada ditampok lama dan ketinggalan zaman. Visi dan misi sekarang dikatakan hanyalah sebagai simbolik sahaja dan ianya tidak dipraktikkan. Hal ini berlaku disebabkan terdapat kritikan yang disiarkan dalam akhbar berhubung dengan kerenah biroraksi di salah sebuah pejabat tanah dalam negeri Kelantan iaitu dipejabat tanah jajahan Pasir Mas. Walaupun ianya tidak berlaku disini tetapi beliau bertindak dengan serta merta melakukan perubahan.

    17 JUN 2010 (Khamis)

    Pada pukul 8.00 pagi saya tiba dipejabat dan dimaklumkan bahawa ada kerja luar yang patut saya sertai. Tetapi setengah jam kemudian saya dimaklumkan kerja luar itu ditangguhkan pada waktu yang akan diberitahu khalak. Saya ditugaskan oleh En. Abdul Muhaimin B. Mohd Redzwan (penolong ketua jajahan) untuk mengemaskini buku Pementoran Dalam Perkhidmatan Awam (Panduan untuk Mentor dan Menti). Saya diberi tugas oleh penolong pegawai tanah iaitu En. Mohd Taufiek B. Mahmud untuk menaip surat Laporan Siasatan Permohonan Perumahan Membina Dewan Orang Ramai Kawasan Rukun Tetangga (RRT) Mahang East. Saya juga turut melayani pelanggan yang hendak berurusan dengan pegawai-pegawai di unit ini. Dalam pada itu, saya turut membantu pegawai Mohd Aziki B. Abdullah menyusun kotak-kotak pelan syit.

    ReplyDelete
  4. 20 JUN 2010 (Ahad)

    Pada pukul 10.00 pagi, saya membantu pegawai dalam urusan menyediakan pelan seperti menandakan garisan, keluasan, no. lot, mukin, daerah, syit piawai pada pelan yang diingini oleh pelanggan-pelanggan. Pelan ini penting bagi tujuan menukar syarat tanah, pecah sempadan/bahagian/cantuman, serah milik dan lain-lain lagi. Pengesahan pelan mestilah ditandatangani oleh dua orang pegawai tanah iaitu pelukis pelan dan penolong pegawai tanah. Harga pelan tapak ditentukan saiz keluasan tanah iaitu bagi keluasan 0.001 hektar – 1.00 hektar berharga RM10.00, 1.001 – 1.500 hektar berharga RM15.00 manakala bagi keluasan 1.5001 – 2.000 hektar berharga RM20.00 dan bagi setiap penambahan 0.500 hektar keatas mestilah ditambah RM5.00 .

    21 JUN 2010 (Isnin)

    Pada pukul 8.00 pagi dimulakan dengan bacaan doa, selepas itu pegawai memulakan kerja masing-masing. Pada sebelah pagi, keadaan diunit teknikal agak tenang dan tidak ramai pelanggan yang berurusan. Kebanyakan pelanggan yang berurusan diunit ini adalah pada waktu tengahari dan petang. Walau bagaimanapun keadaan dibahagian ini tidaklah sesibuk sepertimana di kaunter kerana kebanyakan urusan dibuat adalah di kaunter seperti urusan pembayaran, pendaftaran, pengesahan dan lain-lain. Kerja saya pada hari ini adalah seperti biasa iaitu menguruskan penjualan pelan tapak (sureh).

    22 JUN 2010 (Selasa)

    Apabila tiba dipejabat, saya dimaklumkan bahawa ada satu operasi yang patut saya sertai. Tepat pada pukul 11.00 pagi saya dan seorang pelajar praktikal dari UUM juga bersama 3 orang penolong pegawai tanah yang bertindak sebagai Unit Penguatkuasaan turun padang membuat pemeriksaan permit (Doket Pengeluaran) terhadap syarikat-syarikat pangkalan pasir di daerah Kemubu. Permit ini adalah satu kebenaran bertulis yang mempunyai jangka hayat 1 bulan untuk mengangkut pasir dari pengkalan untuk dijual. Tanpa permit ini, sesebuah syarikat pasir dilarang sama sekali dari beroperasi dan seterusnya akan disita. Tempoh permit boleh diperbaharui dengan bayaran RM1000 sebulan. Daripada pemeriksaan yang telah dibuat terhadap lebih kurang 20 syarikat pangkalan pasir, kebanyakan permit mereka telah tamat tempoh. Pelbagai alasan yang mereka berikan untuk mengelakkan daripada diambil tindakan dari pihak kami. Kali pertama kesalahan yang mereka lakukan akan diberikan amaran kemudian jika kesalahan itu berulang bagi kali kedua, tindakan menyita premis tersebut akan dibuat. Kerja sebegini memang mencabar keberanian kerana kita harus berani berdepan dengan tauke-tauke pasir dan pemandu-pemandu lori pasir.

    23 JUN 2010 (Rabu)

    Tepat pada pukul 8.00 pagi, seperti biasa semua diminta berkumpul dibilik mesyuarat untuk mendengar tazqirah. Kali ini, Tazqirah Perdana yang disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu En. Abdul Rashid B. Mohd Nor yang bertajuk ‘Kelebihan Bulan Rejab’. Beliau adalah wakil penceramah dari Jabatan Agama Islam Negeri Kelantan. Selepas itu, saya disuruh untuk fotostat Diari Penolong Pegawai Tanah (Catitan Harian) lebih kurang 50 muka surat. Kemudian saya diarahkan oleh En. Mohd Awaluddin B. Hamzah (penolong pegawai tanah) untuk mengambil Laporan Catitan Harian di unit Pentadbiran yang berada di tingkat 2 bersebelahan bilik Ketua Jajahan.

    24 JUN 2010 (Khamis)

    Pada pukul 8.00 pagi, saya meminta kebenaran untuk masuk didalam bilik perbicaraan kes pertikaian tanah dari YBrs. En. Abdul Muhaimin B. Mohd Redzwan. Beliau bertindak sebagai tuan majistret dalam perbicaraan kes tersebut. Pada pukul 11.00 pagi dan 3.00 petang, saya mengikuti perbicaraan kes Permohonan Hak Lalulalang @ Right Of Way (ROW). Tujuan ROW adalah untuk membolehkan tanahmilik seseorang digunakan oleh orang lain sebagai jalan keluar-masuk ke sesuatu perhentian awam. Kesemua kes dapat diselesaikan dengan tersusun hasil persetujuan semua pihak dan mendapat kesepakatan kata putus dari tuan Majistret.

    ReplyDelete
  5. 27 JUN 2010 (Ahad)

    Berjumpa dengan En. Mohd Fauzee B. Ab. Rahman (penolong pegawai tanah kanan) untuk mengetahui serba sedikit berkenaan Hak Lalulalang @ Right Of Way (ROW). Ianya terbahagi kepada 2, iaitu Hak Lalulalang Persendirian dan Hak Lalulalang Awam. Persendirian diwujudkan bagi memberi faedah kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN), tuanpunya mana-mana tanahmilik dan penduduk mana-mana tanahmilik. Manakala Hak Lalulalang Awam pula diwujudkan bagi faedah awam. Selepas itu,saya seperti biasa melayani pelanggan yang ingin menukar syarat tanah. Kemudian fotostat borang Laporan Pelanggaran Syarat Kegunaan Tanah (PSKT) dan melampirkannya ke dalam fail PSKT.

    28 JUN 2010 (Isnin)

    Dimulakan dengan bacaan doa, kerja saya pada hari ini adalah seperti biasa iaitu menguruskan penjualan pelan tapak (sureh). Dalam pada itu, saya juga menerima fail-fail dari kerani kemudian mengagihkannya kepada penama-penama didalam fail tersebut yang kesemuanya terdiri daripada penolong pegawai tanah di unit teknikal. Saya juga didedahkan serba sedikit proses penukaran syarat tanah dari Pertanian kepada Bangunan dan Perindustrian.

    29 JUN 2010 (Selasa)

    Pada pukul 8.00 pagi, satu jamuan ringkas diadakan sempena perpisahan 2 orang pelajar praktikum dari UIAM. Dimulakan dengan jamuan, kemudiannya diikuti ucapan perpisahan dan penyampaian cenderahati seterusnya kata-kata semangat dari YBrs. En. Abdul Muhaimin B. Mohd Redzwan. Selepas itu, saya membantu membersihkan kelengkapan jamuan tersebut. Saya juga ditugaskan menjawab panggilan telefon dan melayani tetamu.


    30 JUN 2010 (Rabu)

    8.00 pagi berkumpul dibilik mesyuarat untuk mendengar tazqirah yang bertajuk ‘Kelebihan Nikmat Bersyukur’ dan ucapan ringkas Ketua Jajahan. Beliau merumuskan hasil keputusan dari juruaudit SUK berhubung pertandingan 5S yang akan diadakan antara organisasi awam diperingkat kebangsaan. Hasil dari keputusan audit pertama oleh pihak SUK berhubung pejabat tanah ini, markah yang diberikan adalah 78.5 %. Beliau tidak berpuasa hati dengan markah yang diberikan dan meminta semua ahli-ahli dipejabat tanah memperbaiki mutu perkidmatan mereka. Perkara yang paling ditekankan oleh beliau adalah tahap ‘keberadaan’ pegawai dipejabat. Selesai ucapan itu, saya menguruskan penjualan pelan tapak.

    1 JULAI 2010 (Khamis)

    Saya ditugaskan untuk menaip surat laporan oleh penolong pegawai tanah dan mengendalikan mesin fotostat dan juga menjawab panggilan telefon. Kemudiannya jika ada pegawai yang meminta bantuan, akan saya lakukan. Saya juga tidak terkecuali melayani pelanggan yang berurusan di unit ini yang rata-rata terdiri daripada penduduk sekitar bandar Kota Bharu.

    ReplyDelete
  6. 4 JULAI 2010 (Ahad)

    Menaip surat laporan siasatan atas aduan mengenai pasar dan pokok buah-buahan diatas simpanan jalan menghalang jalan keluar-masuk. Meneliti geran tanah berhubung dengan kategori, syarat nyata dan sekatan kepentingan seterusnya merekodkan ke dalam buku rekod PSKT. Kemudian menguruskan penjualan pelan tapak, merekod perihal tanah dalam buku jualan pelan sureh, mengendalikan mesin fotostat dan menjawab panggilan telefon.

    5 JULAI 2010 (Isnin)

    Dimulakan dengan bacaan doa sempena menyambut kedatangan staf baru iaitu En Zahari B. Hamzah (Penolong Pegawai Tanah Kanan NT 32) yang sebelum ini bertugas di Pejabat Tanah Jajahan Pasir Mas. Diadakan sedikit jamuan sempena menyambut kedatangannya. Kemudian seperti biasa, saya menguruskan penjualan pelan tapak dan menaip senarai mukin untuk rujukan penyimpanan fail-fail urusan tanah.

    6 JULAI 2010 (Selasa)

    Diadakan jamuan ringan (pulut durian) hasil sumbangan Ybrs. En Abdul Muhaimain B. Mohd Redzwan. Membantu seorang pelanggan membayar bil pelan tapak. Mendengar penerangan daripada pelukis pelan Nik Adnan B. Nik Osman tentang prosedur ubah syarat tanah. Laporan ubah syarat perlu direkodkan seperti keadaan tanah, apa ada atas tanah (bangunan dan tanaman), zoning, saliran, nilaian tanah (untuk ubah syarat), jalan masuk dan juga infrastruktur. Dalam pada itu, beliau menunjukkan cara menyediakan pelan seterusnya charting di atas pelan syit, lukis dalam Demarcation Field Book (DFB) dan mendaftar PT.

    7 JULAI 2010 (Rabu)

    8.00 pagi berkumpul dibilik mesyuarat diadakan tazqirah ‘Israk Mikraq’ yang disamapikan oleh En. Zawawi B. Mamat. Kemudian ucapan ringkas ketua jajahan berhubung prestasi kerja. Selepas selesai saya menguruskan penjualan pelan sureh. Fotostat dokumen seperti geran tanah, cabutan , lot tanah untuk proses penukaran syarat tanah. Pecah sempadan dan tukar syarat serentak bermaksud membuat permohonan pecah sempadan bersekali dengan permohonan menukar syarat. Permohonan ini hendaklah dianggap seolah-olah ianya adalah permohonan dibawah seksyen 135 (permohonan pecah sempadan). Permohonan memecah sempadan dan menukar syarat serentak hendaklah menggunakan Borang 7D.

    8 JULAI 2010 (Khamis)

    Menaip surat laporan Permohonan ROW yang diarahkan En Wan Shamsudin B. Latif (penolong pegawai tanah). Seterusnya membuat tiga kertas kerja (tentatif program) yang diarahkan oleh Ybrs. En Abdul Muhaimin B. Mohd Redzwan. Sebelum itu, saya membuat satu perbincangan ringkas dengan beliau berhubung kertas kerja tersebut. Membawa pelanggan yang ingin membuat nilaian tanah berjumpa dengan penolong pegawai tanah kanan iaitu YB. Raja Hassan B. Raja Ibrahim.

    ReplyDelete
  7. 11 JULAI 2010 (Ahad)

    Mendengar penerangan mengenai prosedur pengambilan balik tanah daripada penolong pegawai tanah. Secara amnya, menurut seksyen 3 Akta pengambilan tanah 1960, Pihak Berkuasa Negeri boleh mengambil mana-mana tanah yang diperlukan sama ada bagi maksud awam, bagi benefisial untuk kemajuan ekonomi negara Malaysia atau kepada orang ramai dan bagi maksud perlombongan atau kediaman, pertanian, perdagangan, perindustrian atau rekreasi. Proses asas pengambilan dapat dibahagikan kepada tiga keadaan iaitu pra pengambilan, pengambilan dan pasca pengambilan.


    12 JULAI 2010 (Isnin)

    Menaip surat laporan dan menolong YM Raja Hassan B. Raja Ibrahim mengemas bilik kerana beliau dipindahkan ke bilik empat. Selepas itu, ditugaskan mengangkat fail-fail urusan tanah ke dalam bilik simpanan fail. Pada sebelah petang, saya menguruskan penjualan pelan tapak seterusnya mengemaskini buku jualan pelan sureh. Membuat catatan nombor Pelan Charting bagi fail Pecah Sempadan yang telah diluluskan diatas pelan syit mengikut nombor PT yang dikemukan.

    13 JULAI 2010 (Selasa)

    Diarahkan oleh En. Abdul Muhaimin untuk membuat tentatif Kertas Kerja Program Pementoran Di Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu. Tujuan program ini dibuat adalah untuk meningkatkan kecekapan tahap pengurusan masa dalam menyelesaikan segala urusan berkaitan tanah. Beliau juga menceritakan perjalanan hidupnya menempuhi alam pekerjaan. Kemudian menolong pegawai meyelesaikan masalah printer yang tidak berfungsi. Menyusun pelan syit didalam Kabinet mengikut urutan no syit piawai. Membantu pegawai menyemak dokumen pelanggaran syarat tanah. Dalam pada itu, menguruskan penjualan pelan tapak sepertimana yang dikehendaki pelanggan.

    14 JULAI 2010 (Rabu)

    Mendengar tazqirah Israk Mikraq yang disampaikan oleh Ust. Abd. Rashid Bin Abd. Latif (penceramah jemputan). Fotostat Jadual Penguatkuasaan Di Pangkalan Pasir Hj Tegoh. Saya ditugaskan untuk turun padang membuat beberapa operasi rondaan penguatkuasaan berdasarkan jadual yang ditetapkan iaitu sebulan 3 kali bersama pegawai penguatkuasaan. Peranan dan tanggungjawab pegawai penguatkuasa adalah membuat rondaan, menyedia rejod-rekod yang terkini, pemantauan, pelaporan, dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan. Pegawai Penguatkuasaan perlulah berperanan dan bertanggungjawab secara ikhlas, berani dan tidak teragak-agak untuk bertindak mengikut lunas undang-undang, walau bagaimana sifat berhikmah juga tidak boleh diabaikan ibarat “menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak bersepai”.

    15 JULAI 2010 (Khamis)

    Fotostat buku nilaian harga tanah kemudian diagihkan kepada Penolong Pegawai Tanah. Diadakan jamuan bertempat Chammalay Cafe & Restoran sempena jamuan kesyukuran kenaikan pangkat gred 17 ke 27 penolong pegawai tanah dan jamuan perpisahan persaraan En. Supian Ali Mustapah. Pada sebelah petang, saya menguruskan penjualan pelan tapak. Kemudian mengemaskini buku-buku mukin mengikut nombor PT terkini.

    ReplyDelete
  8. 18 JULAI 2010 (Ahad)

    Seperti biasa menyediakan bil bagi urusan pembelian pelan tapak. Kebanyakan saiz keluasan pelan tapak yang dikemukan oleh pelanggan kurang daripada satu hektar yang berharga RM 10.00. Kemudian fotostat dokumen tukar syarat tanah seperti kad pengenalan, cabutan, pelan tapak, dan beberapa dokumen lain lagi. Melayan pelanggan yang ingin membuat nilaian tanah mengikut harga pasaran semasa. Nilaian dibuat adalah disebabkan pemilik tanah ingin menjual tanah dan menukar syarat.

    19 JULAI 2010 (Isnin)

    Pada pukul 8.00 pagi saya menghadiri satu Mesyuarat Khas Bahagian Teknikal yang membincangkan pergerakan fail urusan tanah seperti ubah syarat, ROW, serahbalik milik semula, TOL dan lain-lain. Selepas mesyuarat, saya diarahkan oleh En. Abdul Muhaimin untuk membuat satu audit pergerakan fail bagi 12 orang Penolong Pegawai Tanah Bahagian Penguatkuasaan & Teknikal. Selesai mengaudit, saya ditugaskan untuk fotostat Buku Mentoring Sistem Star Rating. Kemudian saya diberi tugasan untuk membuat satu kertas kerja berkaitan Mentoring Star Rating. Tujuan program Mentoring Star Rating diadakan adalah langkah awal bagi menghadapi Pertandingan 5S.

    20 Julai 2010 (Selasa)

    Ketua Jajahan YM. Tengku Azmi Bin Tengku Jaafar mengarahkan saya dan 2 lagi pelajar praktikal untuk mengedarkan 100 Borang Soal Selidik Kajian Kepuasan Pelanggan di setiap kaunter yang berurusan dengan pelanggan. Kemudian saya diberi tugasan untuk menyemak fail-fail pelanggaran syarat tanah. Setiap bentuk pembangunan tanah perlu ditukar syarat. Seksyen 124 KTN, Tukar Syarat kegunaan tanah bermaksud pengubahan kategori hakmilik tanah daripada kategori kegunaan sedia ada kepada kategori kegunaan tanah yang lain atau perubahan syarat nyata.

    21 Julai 2010 (Rabu)

    En. Mohd Fauzee B. Abd. Rahman (penolong pegawai tanah) mengarahkan saya untuk fotostat borang Laporan Permohonan Memiliki Tanah Kerajaan. Dalam pada itu, beliau menceritakan berkenaan Akta Pengambilan Balik Tanah 1960. Saya sempat bertanya kepada beliau mengenai masalah yang sering dihadapi dalam pentadbiran organisasi pejabat tanah. Sebelah petang, menguruskan penjualan pelan tapak sepertimana yang dikehendaki pelanggan.

    22 Julai 2010 (Khamis)

    Diadakan sedikit jamuan sarapan pagi hasil sumbangan En. Wan Shamshudin Bin Latif (penolong pegawai tanah). Saya bersama dua orang pelajar praktikal mengemaskini borang Kepuasan Pelanggan dibahagian kaunter. Kemudian mempelajari kaedah membuat pelan lot tanah menggunakan perisian autocad yang ditunjuk ajar oleh pelukis pelan dan penolong pegawai tanah. Walaupun nampak agak rumit tetapi saya tetap ingin mempelajarinya.

    ReplyDelete
  9. 25 Julai 2010 (Ahad)

    Menaip Surat Mesyuarat Jawatankuasa Audit Program Amalan 5S PTJKB yang diarahkan oleh En Abdul Muhaimin (PKJ). Pergi ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian untuk menyelesaikan urusan pembayaran pendaftaran hasil tanah. Kemudian menyemak no. PT didalam pelan syit, mengemaskini borang-borang ke rak, dan mengisi maklumat geran ke dalam buku Daftar Rekod PSKT. Sebelah petang, menguruskan penjualan pelan tapak sepertimana yang dikehendaki pelanggan.

    26 Julai 2010 (Isnin)

    Dimulakan dengan bacaan doa. Mengemaskini Fail Program Amalan 5S. Menolong Pembantu Am pejabat mengangkat kotak-kotak kertas ke bilik Bahagian Pentadbiran. Fotostat dokumen untuk ubah syarat kegunaan tanah. Menyusun Fail Aduan Mengenai Pencerobohan Kegunaan Tanah. Sebelah petang, menjawab panggilan telefon dan menguruskan penjualan pelan tapak sepertimana yang dikehendaki pelanggan.

    27 Julai 2010 (Selasa)

    Menaip Laporan Siasatan Atas Lot 4335 Mukin Panchor Di Jalan Padang Tembak Atas Teguran Timbalan PTG. Pergi ke Tanjong Mas menjalankan kerja luar bersama En. Sekarnor B. Hassan (PPT) untuk memerhati kawasan sewaan Tanah Rizab Kerajaan berpandukan pelan syit. Kemudian beliau menceritakan pengalaman berkerja di Pejabat Tanah sambil mengajarkan saya cara membuat pelan lot menggunakan perisian autocad.

    28 Julai 2010 (Rabu)

    Berkumpul di Bilik Gerakan untuk mendergar Tazqirah ‘Menyambut Kedatangan Ramadhan’ yang disampaikan oleh penceramah jemputan dari Jabatan Agama Islam Kelantan. Saya diarahkan oleh YM. Raja Hassan (PPT) ke Bilik Kebal (bahagian simpanan geran tanah) untuk mengemaskini geran ke dalam fail urusan tanah dibantu oleh staf sokongan. Kemudian melayani pelanggan yang ingin berurusan di jabatan ini.

    29 Julai 2010 (Khamis)

    8.00 pagi diadakan Mesyuarat Khas Perjumpaan Semua Ahli Bahagian Teknikal. Diarahkan untuk mengaudit pergerakan fail Penolong Pegawai Tanah (PPT). Dalam pada itu, diadakan Jamuan Perpisahan En. Mohd Awaluddin (PPT) kerana Pertukaran Tempat Kerja ke PTJ Kecil Lojing, Gua Musang. Saya turut membantu beliau mengemas peralatan, fail, dan dokumen ke tempat sepatutnya. Sebelah petang, menguruskan penjualan pelan tapak sepertimana yang dikehendaki pelanggan.

    ReplyDelete
  10. 1 Ogos 2010 (Ahad)

    Menyemak audit pergerakan fail bagi 12 orang Penolong Pegawai Tanah. Menjalankan Operasi penguatkuasaan Pangkalan Pasir Hj. Tegoh dan beberapa pangkalan lain, bersama En Mohd Fauzee dan En Wan Shamshudin (PPT). Beberapa hari lalu, pangkalan pasir ini telah disita kerana melanggar undang-undang Kanun Tanah Negara. Tujuan operasi dijalankan adalah untuk memeriksa sama ada pangkalan pasir ini masih beroperasi atau sebaliknya. Tindakan ini dibuat mengikut Seksyen 426 (1) iaitu mengeluarkan/mengalih atau mengangkut bahan-bahan batuan tanpa permit.

    2 Ogos 2010 (Isnin)

    Dimulakan dengan bacaan doa, kemudian fotostat Buku Warta Kerajaan dan Buku Cabutan Hakmilik yang diarahkan oleh YM. Raja Hassan. Mengambil kertas A4 diunit Pentadbiran dan mengagihkan surat-surat kepada penama. Menguruskan dokumen penjualan pelan sureh untuk permohonan Ubah Syarat. Tanah boleh di Ubah Syarat daripada ‘Padi’ ke ‘Bangunan’ dengan membuat Permohonan Mengenakan/Mengubah Jenis atau Syarat dibawah Seksyen 124 Kanun Tanah Negara.

    3 Ogos 2010 (Selasa)

    Fotostat Buku Warta Kerajaan dan Buku Cabutan Hakmilik untuk En Mohd Fauzee. Kemudian diarahkan YM. Raja Hassan untuk fotostat Buku Cabutan Hakmilik Tanah. Keluar bersama En. Sekarnor Hassan untuk membuat pemeriksaan kawasan Kes Permohonan Hak Lalulalang @ Right Of Way (ROW) Di Daerah Peringat,Kota Bharu. Tindakan ini dibuat mengikut Seksyen 390, Borang 28A Kanun Tanah Negara iaitu Semakan Status Permohonan Hak Lalu Lalang (Row).

    4 Ogos 2010 (Rabu)

    Berkumpul dibilik Gerakan untuk mendengar Tazqirah ‘Diambang Ramadhan’ yang disampaikan oleh Ust. Lazim Mohammad. Menaip Borang Laporan Penolong Pegawai Tanah berkaitan Perizaban Tanah Kerajaan. Laporan ini dibuat adalah sebahagian proses Permohonan Perizaban Tanah Bagi Maksud Awam Mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara. Sebelah petang, menguruskan penjualan pelan sureh dan dalam pada itu, En. Nik Adnan sempat menceritakan perjalanan hidup bertugas sebagai pelukis pelan dalam sektor kerajaan.

    5 Ogos 2010 (Khamis)

    Diarahkan oleh YM. Raja Hassan mengambil kertas diunit Pentadbiran dan fotostat Buku Warta Kerajaan. Bertemu En. Mohd Fauzee (PPT) untuk bertanyakan beberapa soalan berkaitan Enakmen Rizab Melayu dan Akta Pengambilan Balik Tanah 1960. Fotostat Buku Cabutan Hakmilik Tanah kemudian menandakan nombor PT (Hakmilik Sementara) diatas pelan-pelan tanah yang diarahkan oleh YM. Raja Hassan.

    ReplyDelete
  11. 8 Ogos 2010 (Ahad)

    Keluar bersama En. Sekarnor (PPT) ke kawasan sekitar Kota Bharu untuk menyelesaikan Kes Permohonan Pecah Sempadan dan Ubah Syarat Serentak 124 KTN, Pecah Bahagian 142 dan Pecah Sempadan 134 KTN. Empat kes dapat diselesaikan di daerah Badang, Kemuning, Wakaf Beta dan Limbat. Pecah sempadan tanah bermaksud satu lot tanah dipecah kepada 2 atau lebih bahagian supaya setiap satunya dipegang di bawah hakmilik yang berasingan oleh tuanpunya yang sama atau tuanpunya bersama yang sama. Manakala Pecah bahagian tanah bermaksud satu lot tanah yang di pegang oleh dua orang atau lebih sebagai tuanpunya bersama dipecah bahagikan supaya terletak hak kepada setiap orang daripada mereka, di bawah hakmilik yang berasingan, bermakna setiap seorang tuantanah mendapat hakmilik diatas nama masing-masing.

    9 Ogos 2010 (Isnin)

    Menaip Surat Akuan Tuntutan Elaun Perjalanan Penolong Pegawai Tanah. Kemudian Keluar bersama En. Wan Zaidi (PPT) ke Pangkalan Chepa, Kota Bharu untuk menyelesaikan kes Permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) @ Sewa Tanah Kerajaan 65 KTN. Lesen Pendudukan Sementara (LPS) merupakan sejenis permit yang boleh dipohon oleh sesiapa sahaja agar memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. LPS juga memberi maksud sesuatu kebenaran yang dikeluarkan daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) kepada orang atau badan yang memohon untuk melakukan sesuatu perkara khusus dalam satu tempoh yang telah ditetapkan.

    10 Ogos 2010 (Selasa)

    Keluar bersama En. Sekarnor ke Pejabat Ukur Unggul dan Ramadan, Kota Bharu untuk membuat bayaran daftar permohonan geran pertanian kepada bangunan. Kemudian diarahkan oleh YM Raja Hassan (PPT) ke Bilik Kebal (Bahagian Pendftaran) untuk mencari geran seterusnya mencatatkan butiran geran diatas pelan-pelan lot. Dua puluh fail pelbagai urusan tanah diberikan kepada saya untuk dicatakan butiran geran.

    11 Ogos 2010 (Rabu)

    Keluar bersama En. Sekarnor ke Perol, Peringat dan Machang untuk menyelesaikan Kes Permohonan Pecah Sempadan dan Ubah Syarat Serentak. Mengikut Seksyen 124A KTN, Pecah Sempadan dan Tukar Syarat Serentak bermaksud membuat permohonan pecah sempadan bersekali dengan permohonan menukar syarat. Tujuan diadakan peruntukan ini adalah untuk memberikan satu lagi pilihan kepada tuanpunya tanah mencari jalan mudah untuk menukar syarat dan pecah sempadan didalam masa yang sama. Permohonan ini mengunakan Borang 7D dan disertakan dengan bayaran, pelan pra-hitungan, dan surat kebenaran daripada orang yang mempunyai kepentingan diatas tanah tersebut.

    12 Ogos 2010 (Khamis)

    Keluar bersama En. Manzurul dan En. Sekarnor (PPT) ke beberapa kawasan sekitar Kota Bharu untuk memeriksa kawasan bagi Permohonan Ubah Syarat dan Pemecahan Bahagian. Lima kawasan telah dipantau antaranya Mukim Patek, Kijang, Parit, Bayang, dan Beta Hulu. Tujuan lawatan ini dibuat oleh Penolong Pegawai Tanah (PPT) adalah untuk membuat laporan keadaan tanah berkenaan seperti apa ada atas tanah, jalan masuk, zoning, saliran dan lain-lain bagi permohonan Ubah Syarat dan Pecah Bahagian.

    ReplyDelete
  12. 15 Ogos 2010 (Ahad)

    Membuat jadual penerimaan fail diunit teknikal yang diarahkan oleh En. Zahari Hamzah (PPT). Saya diberi pelbagai fail permohonan urusan tanah dan diarahkan untuk mencari butiran geran yang berkaitan fail tersebut. Tugasan pertama, memeriksa no. PT didalam Buku Daftar Hakmilik kemudian mencatatkan diatas fail mengikut butiran hakmilik. Seterusnya memeriksa no H.S.M (no. rujukan Geran Tanah) mengikut padanan dengan no PT menggunakan perisian Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer. Segala butiran no H.S.M akan dicatat dengan padanan no PT sepertimana yang tercatat diatas fail. Ini adalah proses awal untuk mengenalpasti geran tanah yang tersimpan di Bilik Kebal (Bahagian Pendaftaran PTJKB).

    16 Ogos 2010 (Isnin)

    Menyambung proses mencari geran untuk Permohonan Pecah Sempadan di Bilik Kebal. Semua fail yang sudah siap dicatatkan no H.S.M akan dibawa ke Bilik Kebal untuk proses pencarian geran. Geran dicari mengikut nama mukim dan no H.S.M yang tercatat diatas fail. Apabila geran dijumpai, proses seterusnya mencatatkan no lot geran mengikut pelan lot yang sepadan dengan pelan didalam fail. Selepas itu, fail-fail yang siap dicatat butiran geran akan diberikan kepada Penolong Pegawai Tanah untuk membuat lawatan tapak dan menyediakan laporan.

    17 ogos 2010 (Selasa)

    Unit Pendaftaran saya ditugaskan oleh YM Raja Hassan (PPT) untuk membantu Pembantu Am Pejabat dalam proses mencari geran di Bilik Kebal bagi fail Permohonan Serah Balik Pindahmilik Semula (SMS). Geran dicari mengikut nama mukim dan no H.S.M yang tercatat diatas fail. Apabila geran dijumpai, proses seterusnya melampirkan geran mengikut pelan lot yang sepadan dengan pelan didalam fail. Berbeza sedikit dengan tugasan yang diberikan kepada saya kemarin. Kemudian menaip Laporan Penguatkuasaan Operasi Pasir Di Kedai Buloh.

    18 Ogos 2010 (Rabu)

    Mendengar tazqirah ‘Ramadhan Bulan Keberkatan’ yang disampaikan YM Tengku Ahmad Zarir B. Tengku Abdul Rahim (Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan Masyarakat). Di Bilik Kebal untuk melampirkan geran kedalam fail pelbagai urusan tanah. Kemudian diarahkan oleh En. Sabilly (Penolong Ketua Jajahan (Pendaftaran) mengemaskini papan kenyataan bilik mesyuarat Bahagian Pendaftaran dengan jadual beserta graf bar urusan tanah bagi tahun 2010. Antara tugasan yang diberikan adalah menyediakan jadual Permohonan Ubah Syarat Tanah, Geran Gantian, Pindahmilik, Kaveat Tanah, Milik Tanah, Akta Pengambilan Balik Tanah, Sewa Tanah Kerajaan (TOL), dan lain-lain.

    19 Ogos 2010 (Khamis)

    Menyediakan dokumen untuk Juruaudit bagi Program Star Rating. Dokumen ini adalah seperti Buku Panduan Penilaian 5s dan borang penilaian. Selepas itu diagihkan didalam bilik mesyuarat Bahagian Pembangunan untuk Juruaudit dari Pejabat Setiausaha Negeri Kelantan. Unit Pentadbiran – mengambil alat kelengkapan pejabat seperti Stam Pad, mouse, kertas dan lain-lain. Membantu PPT membersih dan megemaskini bilik pejabat sempena pertandingan 5s.

    ReplyDelete
  13. 22 Ogos 2010 (Ahad)

    Mengemaskini fail-fail urusan tanah di Bahagian Pendaftaran dan membuat simbol petunjuk untuk ditampal di setiap bahagian pelan tapak. Seterusnya sebelah petang, menguruskan penjualan pelan tapak sepertimana yang dikehendaki pelanggan. Disamping itu fotostat dokumen permohonan bagi pelbagai urusan tanah seperti Cabutan Hakmilik Tanah.

    23 Ogos 2010 (Isnin)

    Menyemak no. PT dalam Buku Pendaftaran Hakmilik kemudian ke Bilik kebal untuk mencari geran dan mencatatkan no. PT mengikut pelan lot yang sepadan dengan pelan didalam fail. Menyelesaikan masalah printer yang tidak berfungsi. Menguruskan penjualan pelan tapak sepertimana yang dikehendaki pelanggan.

    24 Ogos 2010 (Selasa)

    Membuat satu laporan pencerobohan jalan kawasan Kota Bharu berserta menyediakan gambar penguatkuasaan pencerobohan yang telah diambil oleh PPT. Tujuan disediakan laporan ini adalah untuk dibentangkan oleh Penolong Pegawai Tanah dalam Mesyuarat Khas Unit Teknikal di Bilik Gerakan PTJKB. Melampirkan pelan tapak ke dalam fail pelbagai urusan tanah.

    25 Ogos 2010 (Rabu)

    Mendengar Tazqirah Perdana “Petanda Hari Kiamat” yang disampaikan oleh penceramah jemputan dari Majlis Agama Islam Negeri Kelantan. Keluar bersama En. Sekarnor untuk melawat tapak bagi permohonan Hak Lalulalang (ROW). Beberapa kawasan seperti daerah Pasir Hor dan lain-lain yang membuat permohonan ROW sekitar Kota Bharu diperiksa untuk proses membuat laporan keadaan tapak oleh Penolong Pegawai Tanah.

    26 Ogos 2010 (Khamis)

    Diarahkan oleh YM. Raja Hassan (PPT) untuk mencatat butiran fail-fail Pecah Sempadan, Pecah Sempadan dan Ubah Syarat Serentak, PCTKB dan lain-lain. Butiran fail dicatat seperti jenis fail, nama mukim, no. lot asal dan tarikh fail. Tujuan dibuat catatan ini adalah untuk permohonan geran baru. Menguruskan penjualan pelan tapak sepertimana yang dikehendaki pelanggan.

    ReplyDelete
  14. 29 Ogos 2010 (Ahad)

    Mengemaskini dan mencatat butiran Fail Pelupusan Tanah. Pelupusan bermaksud Memberimilik tanah, merizabkan satu-satu tanah atau memberi pajakan kepada tanah rizab (Seksyen 62 dan 63 KTN), member Lesen Tumpangan Sementara (TOL) - Seksyen 65 KTN dan memberi permit untuk mengambil seterusnya memindahkan batu batan daripada satu-satu tanah - Seksyen 70 KTN.

    30 Ogos 2010 (Isnin)

    Fotostat Buku Senarai Semak Penilaian Penarafan Star Rating Pentadbiran PTJKB 2010. Menaip laporan Penolong Pegawai Tanah berhubung dengan Lesen Pendudukan Sementara (LPS). Melayani pelanggan (pemilik tanah, Jurukur, Jururancang dll) di dalam urusan proses pembelian Pelan Sureh. Mengeluarkan resit untuk pembelian Pelan Sureh yang diminta.

    31 Ogos 2010 (Selasa)

    Cuti Kemerdekaan.

    1 Sept. 2010 (Rabu)

    Mendengar Tazqirah “Al-Quran” yang disampaikan oleh Ust. Zawawi. Mengemaskini fail jadual catitan harian Penolong Pegawai Tanah bagi bulan ogos. Fail ini akan dihantar kepada Ketua Jajahan untuk diperiksa dan dikemaskini. Setiap bulan fail akan dikemaskini supaya mutu kerja setiap PPT berada ditahap yang memuaskan. Menjawab panggilan telefon dan menguruskan penjualan pelan tapak sepertimana yang dikehendaki pelanggan.

    2 Sept. 2010 (Khamis)

    Mengisi Borang Soal Selidik Kajian Pengaruh Sumber Daya Manusia Dalam Urusan Pentadbiran Tanah, kajian dijalankan oleh Rahim Mohamad iaitu pelajar Ijazah Kedoktoran Pentd. dan Pembangunan dari UTM. Fotostat Buku Warta Kerajaan Negeri Kelantan bagi Pengambilan Balik Tanah untuk tujuan pembinaan masjid di sekitar Kota Bharu. Keluar ke pejabat pos untuk membeli setem hasil. Membuat charting di atas syit bagi mana-mana tanah yang telah dibuat Pengambilan Balik Tanah.

    ReplyDelete
  15. 5 Sept. 2010 (Ahad)

    Menjawab panggilan telefon dan melayani pelanggan yang memohon untuk membeli pelan sureh bagi permohonan ubah syarat. Menyemak no. lot dalam buku draf kemudian mencari kedudukan kawasan tersebut didalam pelan syit berpandukan petunjuk yang di chating pada pelan. Proses ini bertujuan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang hendak memohon pelan sureh hakmilik sementara sebelum mendapatkan no. hakmilik kekal iaitu daripada no. PT kepada no. Lot.

    6 Sept. 2010 (Isnin)

    Keluar bersama En. Manzurul ke Pengkalan Pasir daerah Salor, Kota Bharu untuk memeriksa kawasan yang telah dibuat aduan oleh penduduk berhubung pencerobohan kawasan tebing sungai pangkalan pasir haram. Kawasan tersebut diperiksa, diambil keterangan daripada penduduk dan ditangkap gambar untuk tujuan laporan oleh PPT seterusnya tindakan selanjutnya akan dibuat oleh pihak yang berkuasa.

    7 Sept. 2010 (Selasa)

    Keluar bersama En. Aziki untuk tujuan mengukur kawasan bagi permohonan sewa tanah kerajaan (TOL). Selain daripada mengukur kawasan yang dipohon, laporan juga dibuat untuk diangkat kepada PBT bagi kelulusan. Semasa lawatan tapak, perkara yang perlu dibuat adalah memeriksa, menyemak, memperenggan tanah yang dipohon, merekod perihal tanah dalam DFB dan menampal notis jadual 3.

    8 Sept. 2010 (Rabu)

    Mendengar tazqirah ‘Hari Allah’ yang disampaikan Ust. Zawawi. Ucapan ringkas oleh YM Ketua Jajahan berhubung prestasi kerja PTJKB. Menyediakan pelan tapak sepertimana yang dikehendaki oleh pelanggan. Menunujukkan pelan syit kepada pelanggan bagi mengetahui item-item seperti jalan raya dan sungai yang berada diatas kawasan yang didudukinya.

    9 Sept. 2010 (Khamis)

    Berada di Bilik kebal bagi urusan pelan untuk tukar syarat tanah. Pelan dicari mengikut no. HSM kemudian difotostat menggunakan kertas tresing supaya mudah ditekup diatas pelan syit Pejabat Tanah. Bagi tanah Hakmilik kekal menggunakan no. Lot dalam proses penyediaan pelan sureh tidak mendatangkan masalah. Tetapi bagi tanah yang menggunakan no. PT (Hakmilik sementara), ia memerlukan geran untuk memudahkan urusan penyediaan pelan sureh.

    13 Sept. 2010 (Isnin)

    Bersalaman dan bermaaf-maafan dengan ahli warga kerja Pejabat Tanah sempena Hari Raya Aidil Fitri. En. Nik Adnan (Pelukis Pelan) menunjuk ajar cara menchating no. Fail di atas pelan syit bagi tanah yang telah dibuat pengambilan untuk tujuan pecah sempadan dan Hak Lalulalang (Right Of Way). Setiap petak lot-lot tanah akan ditandakan dengan no. Fail kemudian dilukis petak-petak kecil mengikut no. PT yang di pecah sempadan. Jika ada pengambilan tanah bagi tujuan pembinaan jalan (ROW), maka dua garisan perlu dilukis atas lot pelan syit untuk menunjukkan tanah tersebut telah berlaku pengambilan.

    14 Sept. 2010 (Selasa)

    8.00 pagi dimulakan dengan bacaan doa. Saya diberi pelbagai fail permohonan urusan tanah dan diarahkan untuk mencari butiran geran yang berkaitan fail tersebut. Seperti biasa tugasan pertama, memeriksa no. PT didalam Buku Daftar Hakmilik kemudian mencatatkan diatas fail mengikut butiran hakmilik. Seterusnya memeriksa no H.S.M (no. rujukan Geran Tanah) mengikut padanan dengan no PT menggunakan perisian Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer. Nombor H.S.M akan dicatat dengan padanan no PT sepertimana yang tercatat diatas fail.

    15 Sept. 2010 (Rabu)

    Berkumpul dibilik Gerakan untuk mendengar tazqirah ‘Syawal Bulan Bermaafan’. Kemudian menyambung proses mencari geran untuk Permohonan Pecah Sempadan di Bilik Kebal. Semua fail yang sudah siap dicatatkan no H.S.M akan dibawa ke Bilik Kebal untuk proses pencarian geran. Geran dicari mengikut nama mukim dan no H.S.M yang tercatat diatas fail. Apabila fail-fail yang siap dicatat butiran geran akan diberikan kepada Penolong Pegawai Tanah untuk membuat lawatan tapak dan menyediakan laporan.

    16 Sept. 2010 (Khamis)
    Cuti Hari 1 Malaysia.

    ReplyDelete
  16. 19 Sept. 2010 (Ahad)

    Menyediakan bil bagi urusan pelan sureh. Keluar bersama En. Manzurul berjumpa pelanggan bagi urusan pembangunan tanah Enakmen Tanah Rizab Melayu Kelantan Dan Pemilikan Tanah di Bandar Kota Bharu. Selain itu, melawat beberapa kawasan di daerah Limbat, Kota Bharu bagi permohonan ubah syarat dan pecah sempadan serentak (USTKB).

    20 Sept. 2010 (Isnin)

    Keluar bersama En. Wan Zaidi dan En. Sukarnor ke Daerah Badang, Kota Bharu untuk melawat tapak bagi permohonan Ubah Syarat Pecah Sempadan Serentak (USTKB) dan Pecah Bahagian. Tujuan lawatan ini untuk mengetahui keadaan semasa kawasan bagi membolehkan laporan dibuat oleh PPT. Sebanyak tiga fail bagi USTKB dan satu fail untuk pecah bahagian diangkat oleh PPT untuk dibuat laporan.

    21 Sept. 2010 (Selasa)

    Keluar bersama En. Manzurul untuk memeriksa tanah rizab kerajaan bagi permohonan Lesen Pendudukan Sementara. Fail diangkat oleh PPT untuk dibuat laporan keadaan semasa kawasan yang dipohon. Dalam pada itu, beberapa kawasan bagi permohonan pecah bahagian dilawati untuk dibuat laporan oleh PPT.

    22 Sept. 2010 (Rabu)

    Mendengar Tazqirah Perdana ‘Akhlak Baik’ yang disampaikan oleh Ust. Saibun Ismail dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan. Membantu pelukis pelan Nik Adnan mencatat butiran pelan seperti petunjuk, skala, nama mukim, daerah, no. Lot dan lain-lain.

    23 Sept. 2010 (Khamis)

    Berada di Bilik Kebal untuk urusan mengenal pasti bentuk pelan kemudian dipadankan dengan no. Lot yang ditercatat didalam fail. Proses ini dilakukan bertujuan mengelak berlaku kesilapan dalam permohonan geran daripada geran sementara (no. PT) kepada geran kekal (no. Lot).

    ReplyDelete
  17. 26 Sept. 2010 (Ahad)

    Fotostat pelan-pelan lot untuk dilampirkan ke dalam fail mengikut butiran tercatat pada dokumen dalam fail yang diberikan. Pelbagai jenis fail urusan tanah memerlukan pelan lot bagi memastikan kawasan yang terlibat mudah diketahui perletakan lokasinya. Menyediakan pelan tapak sepertimana yang dikehendaki pelanggan.


    27 Sept. 2010 (Isnin)

    Dimulakan dengan bacaan doa. Diarahkan oleh En. Manzurul untuk menaip Laporan Aduan- Pagar Kawasan Loji Air (air Kelantan-kawasan Kota Bharu) Mukim Kenali Daerah Kubang Kerian. Melayani pelanggan (urusan pelan sureh, menjawab pertanyaan, panggilan telefon). Membantu PPT mengambil dan menyimpan pelan syit semasa berurusan dengan pelanggan.

    28 Sept. 2010 (Selasa)

    Keluar bersama penyelia pelawat praktikum dari Universiti Utara Malaysia iaitu En. Yusuf Pon. Saya ditugaskan untuk menjadi penunjuk arah ke tempat organisasi pelajar dibawah seliaan beliau. Ini disebabkan, beliau tidak mahir dengan kedudukan detinasi organisasi tempat pelajar praktikum yang lain di negeri ini. Beberapa organisasi dilawati, antaranya Pejabat MARA, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pembangunan Persekutuan, Syarikat Binaraya, Pejabat Kastam dan lain-lain.

    29 Sept. 2010 (Rabu)

    Berkumpul di Bilik Gerakan untuk mendengar tazqirah ‘Mengumpat Perbuatan yang Keji’. Taklimat berkaitan penggunaan ICT yang disampaikan pegawai teknologi maklumat PTJKB. Ucapan ringkas oleh Ketua Jajahan berkaitan Mendisiplinkan Diri Semasa Bekerja. Diadakan jamuan Hari Raya dan Perpisahan Pelajar Praktikum (Saya dan Mohd Helmi). Saya turut membantu PPT menghidangkan juadah jamuan tersebut.

    30 Sept. 2010 (Khamis)

    Fotostat Buku Warta Kerajaan Negeri Kelantan Jilid 63 No. 11 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Bilangan 4 Tahun 1994). Kemudian pergi ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memeriahkan lagi sempena Jamuan Hari Raya Aidil Fitri 2010. Bersalam-salaman dan bermaaf-maafan dengan semua ahli Pejabat Tanah tanda penamatan sesi praktikum saya.

    Diucapkan terima kasih kepada semua diatas kerjasama yang diberikan.

    ALHAMDULILAH TANDA UCAPAN SYUKUR KEPADA ALLAH S.W.T

    Sekian Terima Kasih.

    ReplyDelete
  18. http://obatkolesterol.top/http://obatkolesterol.top/
    http://obatkolesterol.top/http://obatkolesterol.top/
    http://obatkolesterol.top/http://obatkolesterol.top/
    http://obatkolesterol.top/http://obatkolesterol.top/
    http://obatkolesterol.top/http://obatkolesterol.top/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-tbc-tulang/
    http://obatkolesterol.top/obat-flu-tulang/

    ReplyDelete