Thursday, May 27, 2010

PANDUAN MENULIS LAPORAN PRAKTIKUM

Para pelajar yang dikasihi, semoga berada dalam keadaan tenang dan damai.

Apakah makna Laporan Praktikum ? Adakah ianya satu beban ? Sesuatu yang menyusahkan ? Sesuatu yang kita nak cepat-cepat binding, tempah kulit keras biru muda atau biru tua dan cepat-cepat hantar ?Laporan Praktikum adalah umpama sebuah kitab SUCI. Sebuah kitab yang akan menjadi buah tangan peninggalan kita hasil keseluruhan pembelajaran di UUM untuk tatapan orang lain. Kitab yang akan menjadi tatapan bakal majikan, pensyarah, ibubapa, anak cucu kita nanti dan rakan-rakan yang lain.

Bayangkan betapa malunya nanti, kitab suci itu penuh dengan DOSA-DOSA, penuh dengan kesalahan ejaan, penuh dengan ketempangan Bahasa Malaysia, penuh dengan kekeliruan dan kepeningan, penuh dengan 'copy and paste' dari sumber yang entah dari mana tanpa rujukan yang betul.Pada hal laporan itu sepatutnya satu dokumentasi pengalaman yang amat paling berharga. Pengalaman itu gagal dirakam dan dipersembahkan dengan baik. Pengalaman itu amat sukar diperolehi dan tidak mungkin dapat diulangsemula. Satu pengalaman yang mendedahkan realiti alam pekerjaan. Alangkah seronoknya jika rakaman dokumentasi ini kita membacanya semula di hari tua nanti.Jika laporan itu penuh dengan dosa-dosa dan kotoran tentunya kita tidak mahu membacanya lagi, kita tidak mahu menyimpannya, malahan kita mungkin tidak mahu mencetak lebih, cukup 2 salinan memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Kita malu untuk mencetak lebih untuk dihadiahkan kepada orang lain.

Apakah Dosa- Dosa itu ?

Dosa Format.

Kita amat takut untuk berkreatif, terikat dengan format penulisan yang kita tidak faham. Kita tidak faham apakah pernyataan masalah - kita sangka masalah yang dihadapi semasa praktikum. Kita tidak faham apakah objektif kajian - kita sangka objektif kajian ialah untuk meningkatkan taraf pendapatan penduduk.Kita tidak faham ulasan karya - kita sangka ulasan karya ialah mendefinisikan setiap istilah yang ada dalam tajuk. Kita tidak faham menulis rujukan - seolah-olah kita tidak pernah pun membaca buku dan melihat bagaimana cara orang lain menulis rujukan sepanjang tempoh kita belajar di UUM.Kita tidak tahu untuk analisis data, kita 'copy dan paste' hasil out-put dari SPSS yang mengandungi segala label spt 'valid', cummulative percentage' yang entah kita tak faham mengapa perlu dijadikan satu jadual. Kita cipta pula carta pie chart, bar chart kerana menyangka itulah persembahan analsis penyelidikan padahal data dari jadual sudah cukup, mengapa pula perlu diulang persembahannya dalam bentuk carta ?

Kita juga keliru kerana meniru format laporan pelajar tahun lepas dengan Analisis SWOT - kita sangka analisis SWOT adalah analisis data kajian. JADI, JANGAN GUNAKAN ANALISIS SWOT. Kita juga keliru dengan tajuk setiap BAB - kita menulis tajuk BAB : Analisis kajian, pada hal isi kandungan bab kita menulis perkara lain. Mengapa tidak kita mencipta tajuk BAB yang sesuai dengan isi kandungan Bab ?.

Dosa Bahasa

Kita menulis Bahasa Malaysia seolah-olah kita tidak pernah belajar Bahasa Malaysia selama ini. Ayat tunggang-langgang maknanya, kita menulis apa sahaja yang keluar dari kepala tanpa benar-benar memilih perbendaharaan kata yang tepat. Kita mencuri, merompak dan mengubah secara haram ayat-ayat yang ditulis oleh orang lain daripada buku dan internet tanpa memberi rujukan dengan betul.Alangkah malu dan kecewanya ibubapa dan majikan jika membaca tulisan seorang graduan UUM yang amat teruk gaya penulisannya. Apakah tidak pernahpun kita membaca buku atau artikel yang baik penulisannya untuk dicontohi sepanjang tempoh belajar di UUM ? Alangkah ruginya pinjaman PTPTN - satu pelaburan yang merugikan ?

Marilah Ber Tau Buat.

Bagaimanakah nak ber Tau Buat laporan praktikum yang terbaik. Tidak ada satu kaedah pun yang terbaik untuk membuat laporan tetapi semuanya bergantung kepada kreativiti anda. Apa yang penting hasil akhirnya ialah laporan anda menarik,mudah dibaca, sedap bahasanya, meninggalkan kesan yang baik kepada pembaca. Ianya bagai sebuah kitab suci mengandungi pengajaran berkesan kepada pembaca.

Satu garispanduan umum format mungkin boleh dijadikan contoh, tetapi digalakkan anda menciptanya sendiri.

Pertama sekali tentang Bab Pengenalan.

Janganlah anda terlalu jauh memulakan cerita seperti sebuah karangan sehingga 2, 3 mukasurat menceritakan sesuatu yang amat jauh dengan topik kajian. Apa tujuan menulis pengenalan ? Sebenarnya untuk memperkenalkan apakah makna secara umum tajuk laporan anda dan apakah tujuan tajuk itu dipilih, apakah aspek-aspek penting yang akan disentuh dalam bab-bab yang seterusnya. Anda memperkenalkan apakah isi kandungan yang akan disentuh dalam bab-bab yang seterusnya.Dalam BAB ini juga anda boleh memperkenalkan permasalahan kajian, objektif kajian, ulasan karya dan metodologi kajian anda. Anda tak perlu menulis perkara ini hanya apabila melaporkan kajian kepuasan di bab yang lain. Ini adalah kerana dalam BAB 2 anda akan menceritakan latarbelakang organisasi.

Tulisan mengenai BAB 2 tentang latarbelakang organisasi sebenarnya untuk menjawab atau memenuhi salah satu objektif kajian anda iaitu meninjau tentang sesebuah organisasi.Katakan permasalahan kajian kita mengenai pentadbiran pejabat tanah. Maka permasalahan kajian boleh kita nyatakan masalah birokrasi, masalah kelewatan permohonan, dan masalah- masalah lain mengenai urusan pentadbiran sesuatu perkara. Maka dalam Bab 2 tentunya kita memfokas kepada sebuah pejabat daerah, maka sebab itulah kita menceritakan secara khusus pejabat tanah tempat kita praktikum.

Dalam Bab 3 kita terus menjurus secara khusus aspek pentadbiran yang kita katakan sebagai pernyataan masalah kajian. Ini adalah kerana salah satu objektif kajian ialah Meninjau urusan pentadbiran sesuatu aspek. Maka kita menulislah dengan jelas proses pentadbiran tersebut.Apa yang kita tulis ini berasaskan data pemerhatian, temubual dan rujukan laporan organisasi yang telahpun kita sebut dalam bab pertama tadi. Maka bahagian ini juga adalah hasil kajian untuk mencapai salah satu objektif kajian.

Dalam Bab 4 pula untuk menjawab objektif kajian yang seterus iaitu meninjau tahap kepuasan pengguna. Mengapa kita kaji aspek kepuasan ? Ini adalah kerana salah satu aspek inovasi ialah melihat kesannya kepada pengguna. Di sini kita terus sahaja melaporkan hasil dapatan soalselidik atau temubual dengan pelanggan. Di sini lah tak perlu kita masukkan ulasan karya kerana ulasan karya boleh di masukkan dalam bab 1.

Apa yang nak ditulis dalam ulasan karya ?. Kita perlu tulis aspek-aspek yang akan dijadikan permasalahan kajian iaitu secara keseluruhannya mengenai tema kajian kita. Contohnya jika tema kajian anda mengenai inovasi pengurusan. Elok kita mendefinisikan apa itu inovasi pengurusan sahaja di sini, tetapi yang lebih penting ialah hasil kajian orang lain tentang inovasi pengurusan. Juga apa kriteria inovasi pengurusan, apakah langkah-langkah dan aspek inovasi yang dibincangkan oleh orang lain dalam kajian mereka. Semua aspek ulasan karya ini akan kita sentuh semula dibahagian perbincangan hasil kajian. Umpamanya salah satu kriteria inovasi ialah dengan melihat tahap kepuasan pengguna seperti yang dibincangkan oleh orang lain. Oleh itu bagaimana pula hasil dapatan kajian kita? .

Adakah kepuasan pengguna dalam kajian kita ada kaitan dengan langkah inovasi yang dibuat oleh organisasi ?CONTOHnya apa prof ? Contohnya dalam Bab 1 kita tulis salah satu aspek pentadbiran iaitu masalah kelewatan masa memproses permohonan. Ini adalah salah satu pernyataan masalah yang kita bincang dalam Bab 1 di bawah subtopik permasalahan kajian.

Dalam subtopik Ulasan Karya dalam Bab 1 ,kita juga sebut masalah ini adalah masalah yang disebut oleh orang lain dalam buku atau dalam jurnal kajian mereka. Kita juga menulis bahawa ini adalah salah satu masalah utama dalam pengurusan sektor awam yang disebut oleh beberapa tokoh dalam buku ataupun dalam kajian.Dalam bab 1 dan di bawah subtopik Objektif Kajian kita juga sebutkan objektif kajian ialah Meninjau permasalah aspek pentadbiran permohonan ( yang bermaksud salah satunya ialah dari segi kelewatan memproses permohonan).

Makanya dalam BAB 2 - latarbelakang organisasi kita mestilah menceritakan latarbelakang organisasi dan beberapa aspek pentadbiran sepintas lalu.

Dalam bab BAB 3 semestinya juga kita membincangkan proses permohonan ini secara mendalam dengan cara memfokaskan cara dan kaedah yang diamalkan untuk memproses sesuatu.Sewaktu ini lah kita sebut apa punca kelewatan, juga sama ada organisasi ada mengambil usaha untuk mempercepatkan permohonan spt mengurangkan birokrasi,mengubahsuai tahap-tahap prosedur tertentu untuk mengurangkan masa kelewatan memproses permohanan dan sebagainya.

Dalam BAB 4 juga kita sebut lagi isu kelewatan permohonan ini dari sudut kesan kepada pengguna dengan meninjau tahap kepuasan mereka.

Dalam BAB 5 Cadangan dan Kesimpulan , maka kita buat cadangan inovasi jika organisasi itu belum melaksanakan inovasi untuk mempercepatkan proses permohonan yang lewat.

Kalau dah ada inovasi, kita beri penilaian sejauhmana keberkesanannnya.INGAT JANGAN SALAH FAHAM. Ini hanya satu CONTOH dari salah satu aspek KELEWATAN PROSES PERMOHONAN. Sepatutnya perlu dikaji BANYAK lagi aspek lain. JANGAN HANYA SATU ASPEK SAHAJA. INOVASI banyak lagi aspeknya.

Jangan pening dan betul bendul...CONTOH ini juga khusus untuk kes pentadbiran dan pengurusan, mungkin ada pelajar yang berada di organisasi lain, isu permasalahan kajiannya berbeza maka inovasi nya menyentuh aspek lain. JANGAN KELIRU dan PENING.


Terimakasih

No comments:

Post a Comment